<$BlogRSDURL$>
 'Ke Arah Menjana Masyarakat Madani'
 'Ke Arah Menjana Masyarakat Madani'
Tuesday, November 30, 2004
Semangat yang hilang 
SEMANGAT YANG HILANG III: ANTARA LAKSA DAN SPAGETTI

1 Syawal 1425 Hijrah lalu serata isi alam seluruh umat mendepani perayaan ‘Eidul-Fitri yang agung khusus diturunkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya sebagai balasan atas kemenangan yang dicapai di dalam medium pentarbiyahan Ramadhan al-Mubarak. Tanda ini berlangsungnya suatu pengembalian asasi manusia kepada fitrah asalnya iaitu makan, setelah dikekang sebulan. Maka kemaruk perayaan ini sangat memberi impak kepada bidang pemakanan dan juadah. Al-maklum di Malaysia laksana syurga makanan, di sini tiada batasan dan halangan untuk menghasilkan atau mendapatkan pelbagai juadah, sebut sahaja pasti akan terjelma di hadapan mata jika selera mahu dituruti. Usah diperkira kuih raya, ia umpama syarat mesti hidangan bagi Melayu. Enak atau tidak bukan pembicaraan di sini yang utama kuih raya masih mampu mengekalkan imej keMelayuan tulen. Begitu juga juadah-juadah lain seperti Rendang, Lemang, Ketupat, Dodol, Wajik dan sejenis dengannya. Juadah-juadah yang pelbagai ini laksana suatu sistem budaya yang masih dipelihara kukuh sealiran juga sistem pakaian, tata susila, pertuturan dan bahasa. Kesemua item di atas merupakan hak peradaban Melayu Nusantara sejak zaman lampau, lalu diperturunkan secara mutawattir kepada generasi-generasi pelanjut Melayu zaman ini. Cuma setelah melalui jangkamasa yang terlalu lama beberapa evolusi juadah-juadah Melayu berlaku bahkan terasimilasi dengan juadah-juadah asing. Lantas lahirlah Mee/Bihun, Roti Canai, Maruku, Kek Dan Pasta, minuman dan lain-lain lagi. Pokoknya tidak lari dari unsur-unsur Melayu Nusantara.
Khusus perbincangan pada ‘Eidul-Fitri, bangsa Melayu semakin mengikut rentak trendsetting masakini, sesuai dengan kemodenan. Padahal sebenarnya dominasi globalisasi barat telah meracuni pemikiran hampir seluruh bangsa, termasuk bangsa Melayu. Juadah-juadah tradisi juga tidak lekang mendapat impak dan semakin tidak popular apatah lagi sekarang ini ikon-ikon makanan antarabangsa semakin mendapat tempat sebagai juadah ‘Eidul-Fitri. Fenomena ini menggambarkan perataan isme liberal barat berlaku tanpa disedari, semacam bunyinya ‘penghapusan etnik’, melalui penyanggahan budaya makanan turun-temurun Melayu Nusantara. Tamsilan saingan sengit antara Laksa dan Spagetti. Spagetti bukan imej Melayu Nusantara dan bukan juadah ‘rasmi’ ‘Eidul-Fitri di Tanah Melayu. Tetapi mendapat tempat istimewa sebahagian dari menu perayaan. Sungguh jelik kerana segelintir Melayu sendiri punya citarasa sebegitu seperti tiada opsyen hidangan-hidangan budaya Melayu lain yang dapat disenarai untuk masakan. Lidah Melayu sepatutnya tidak menerima citarasa sebegitu sebagai menu perayaan malah terkeluar dari fitrah budaya Melayu Nusantara. Jadi mereka yang mengamali gaya pemakanan sebegini tiada penghayatan manifestasi pengembalian fitrah ‘Eidul-Fitri kepada asal-usul dan keturunan bangsa yang dibangunkan oleh Allah SWT di muka bumi. Kerana fitrah kejadian Melayu Nusantara dan segala isinya telah disesuaikan dengan suasana dan sekeliling Tanah Melayu, semata-mata untuk mengangkat martabat Islam di Asia Tenggara dan mengangkat martabat entiti keMelayuan. Jelas fitrah Melayu Nusantara bukan bercirikan Spagetti, tiada pendangkalan dan dolak dalih.
Usaha-usaha keras bangsa asing telah berjaya meliberalisasikan juadah mereka kepada dunia. Globalisasi makanan tidak pernah dipandang serius sebagai suatu ancaman untuk menggugat ketahanan budaya asli sesuatu bangsa. Tidak ada sejarawan nasionalisme yang sedar akan fenomena ini. Jepun telah berjaya meliberalisasikan mee segera, Sushi dan Tempora, China telah berjaya meliberalisasikan Mee Wantan, US telah berjaya meliberalisasikan Fastfood dan Stik, Thailand telah berjaya meliberalisasikan Tom Yam, Itali telah berjaya meliberalisasikan Spagetti dan Pizza, Arab Saudi telah berjaya meliberalisasikan Kebab, Perancis telah berjaya meliberalisasikan Pastri dan India telah berjaya meliberalisasikan Kari. Bagaimana kedudukan Laksa di dalam citarasa dunia? Adakah masyarakat di Venice maklum tentangnya? Adakah masyarakat negara Uncle Sam pernah merasainya? Adakah Laksa dihidangkan di dalam perayaan-perayaan mereka? Atau mungkinkah ada segelintir Melayu yang tidak pernah tahu-menahu Laksa kapanpun berada di negara sendiri? Satu aspek yang mendorong makanan-makanan asing ini mendapat tempat di dalam citarasa dunia adalah komersial yang meluas. Tidak ada bibit-bibit segan dengan citarasa budaya sendiri andai dipersembahkan kepada bangsa lain hingga natijahnya bangsa lain itu pula yang mendesak citarasa tersebut sebahagian dari menu. Apa yang tidak istimewa tentang Laksa? Sangat enak, penuh zat protein ikan kembung, seimbang dengan bawang, timun, daun sup dan daun laksa atau daun pudina, mudah penghadaman juga pelbagai alternatif: Laksa Johor, Laksa Penang dan Laksa Singapura. Berbanding Spagetti yang hanya sekadar tepung gandum, daging kisar, kuah tomato, ajinamoto, garam dan gula. Hanya berulamkan bawang yang sedikit, kentang dan lobak merah jika ada dimasukkan. Sememangnya Spagetti lebih mudah disediakan dan Laksa agak leceh tetapi pokok pangkal persoalan tidak pernah Spagetti tersenarai di dalam menu tradisi Melayu Nusantara. Menyedia, merasai atau membelinya seperti memecah tradisi Melayu Nusantara. Pastilah pilu generasi-generasi terdahulu yang berhempas pulas menurunkan sukatan masakan tradisi kepada anak cucu melihatkan Spagetti muncul sebagai menu lagi-lagi tatkala ‘Eidul-Fitri.
Persoalan antara Laksa dan Spagetti adalah persoalan kemaslahatan ummah, bukan persoalan bangsa. Hakikat yang mesti diakur makanan juga punya kekuatan sebagai medium da’wah perataan Islam. Islam itu syumul, maka aspek pemakanan terkandung di dalam al-Qur’an dan Sunnah. Islam berjaya mengkomersialkan makanan beserta kajian saintifik sebagai bukti ketepatan saranan firman Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW seperti bijirin hitam (Habbatus-Sauda’), madu lebah, Kurma Nabi (Ajwa’), air Zam Zam dan lain-lain lagi. Begitu juga pantang-larang tentang pemakanan untuk ummah berhati-hati tentang apa yang akan menjadi atau merosakkan darah dagingnya seperti halal, haram, sunat, makruh dan harus. Bahkan di dalam fokus wahdatul-fikr juga Islam berjaya menyampaikan da’wah makanan melalui sembelihan daging qurban tatkala ‘Eidul-Adha. Semua ummah setuju sebulat suara dan akur pada syari’at Allah SWT. Begitu juga kedudukan juadah kebudayaan bangsa, tidak ada yang ditolak melainkan jatuh ke atasnya haram atau memudharatkan. Laksa telah melalui rentetan historis terlalu lama semenjak Kesultanan Melayu Melaka menerima Islam sehingga ke hari ini dan kekal bertapak sebagai juadah tradisi. Mengapa harus disisihkan Laksa dan menggantinya dengan Spagetti sedang Spagetti bersifat penjajahan? Begitu juga juadah-juadah tradisi lain yang mesti dikekalkan generasi muda hari ini dan tidak mudah menerima citarasa asing. Masyarakat dunia tertunggu-tunggu usahawan Melayu ulung untuk mengkomersialkan Laksa kerana mereka telah muak dengan Spagetti.-Faris_ Ahlamiyy- Minal ‘Aidi Wal-Fa’izin/Selamat Hari Raya ‘Eidul-Fitri.

# oleh - chy_ketenteramanku | jam - 8:10 AM

Powered by Blogger

:: CIT CAT FM ::

:: UNDIAN ::

:: TAHUKAH ANDA? ::

:: ARKIB ::
  • July 2004
  • August 2004
  • September 2004
  • November 2004
  • December 2004
  • January 2005
  • February 2005
  • March 2005
  • April 2005
  • July 2005
  • December 2005
  • June 2006
  • :: SENTUHAN KALAM ::
    "Tanggungjawab itu lebih banyak daripada masa yang ada"
    Hasan al-Banna

    :: SANTAPAN ::
    Utama
    PC Editor
    Fikrah
    Kampus
    Isu Semasa
    Bicara Tokoh
    Kupasan Buku
    Ekonomi
    Bahasa
    Rileks
    Infomasi
    Catatan Usrah
    Slot Motivasi
    Kertas Kerja
    Koleksi Resolusi
    Muhasabah Jiwa
    Lembaran Sirah
    HEWI
    Personaliti
    Doa Amalan
    Sains & Teknologi

    :: INPUT PEMBACA ::
    Fikrah Madani mengalu-alukan sebarang sumbangan karya atau komen daripada pembaca bagi mutu penerbitan kami. Segala karya yang tersiar menjadi hak milik penerbit.

    Hantar ke alamat:
    fikrahmadani@yahoo.com

    Editor Fikrah Madani
    Masjid Sultan Ismail,
    Universiti Teknologi Malaysia,
    81310 Skudai,
    Johor Darul Ta'zim.
    Sila sertakan nama penuh, alamat, nombor telefon dan jika masih menuntut, nyatakan institusinya.

    :: REDAKSI ::
    Penasihat
    Qandar
    Ketua Editor
    Pak An
    Editor
    Qadahus Nawzi
    Wartawan
    Rasa Oren
    Al-Ayubi
    Wanni
    Teeh
    Izahtul
    Penulis
    Qiadiy Legend
    Escore
    Suhadak
    Ibn Husin
    Pereka Kreatif
    Cireng
    Ajin
    acahmakenon